Semua menteri parti sayap kanan Austria, Parti Kebebasan (FPO) akan berundur dari kerajaan susulan cadangan Canselor Sebastian Kurz untuk memecat Menteri Dalam Negeri Herbert Kickl daripada jawatannya, lapor agensi berita Sputnik memetik akhbar Kurier.

Pada Jumaat, seminggu sebelum pilihan raya Parlimen Eropah, beberapa media utama Jerman melaporkan bahawa anak saudara perempuan seorang oligarki Rusia telah menawarkan untuk menyalurkan sejumlah wang kepada bekas pemimpin FPO Heinz-Christian Strache untuk membeli sebahagian saham akhbar terbesar Austria dalam usaha menyediakan sokongan kepada FPO menjelang pilihan raya parlimen 2017.

Laporan itu, yang memetik rakaman video pada Julai 2017 berkaitan satu pertemuan di Ibiza, Sepanyol turut mendakwa Strache telah menawarkan kontrak pembinaan kerajaan kepada wanita tersebut sebagai balasan.

Skandal itu telah menyebabkan Strache meletak jawatan sebagai Naib Canselor dan pemimpin FPO.

Susulan skandal itu, Kurz telah memanggil pilihan raya kilat parlimen selepas enggan mengekalkan kerajaan gabungan dengan FPO.

Parti Rakyat pimpinan Kurz telah membentuk kerajaan gabungan dengan FPO selepas pilihan raya parlimen 2017.

-- BERNAMA