SYARIKAT teknologi terkemuka dunia, Apple Inc mengesahkan ia telah mengeluarkan aplikasi panggilan dan mesej popular, Skype daripada setor aplikasinya di China.

Menurut Apple, langkah itu dibuat selepas akur dengan keputusan kerajaan republik itu yang memaklumkan aplikasi berkenaan tidak mematuhi undang-undang negara itu.

"Kami telah dimaklumkan oleh Kementerian Keselamatan Awam bahawa perbualan menggunakan aplikasi protokol internet tidak selari dengan undang-undang tempatan.

"Justeru aplikasi berkenaan (Skype) telah dikeluarkan daripada setor aplikasi di China," kata Apple dalam satu kenyataan.

Selain Apple, Skype turut dikeluarkan daripada setor aplikasi Android.

Microsoft selaku pemilik Skype dalam kenyataannya kepada BBC memaklumkan aplikasi itu telah dikeluarkan dari senarai untuk tempoh sementara dan syarikat berkenaan sedang dalam proses untuk mengembalikannya secepat mungkin.

Bagaimanapun Microsoft enggan mengulas lanjut mengenainya.

Media sebelum ini melaporkan gangguan pada Skype telah bermula sejak Oktober lalu.

Sebelum Skype beberapa lagi aplikasi digital dan internet milik syarikat asing telah disekat penggunaannya di negara tembok besar itu antaranya Alphabet's Google, Facebook dan Twitter.