SYARIKAT penstriman muzik Spotify disaman oleh Wixen Music Publishing Inc pada minggu lalu kerana didapati menggunakan ribuan lagu, termasuk daripada Tom Petty, Neil Young dan The Doors, tanpa lesen dan pampasan kepada penerbit muzik itu.

Wixen, yang memiliki lesen eksklusif bagi lagu-lagu seperti Free Fallin oleh Tom Petty, Light My Fire oleh The Doors, (Girl We Got a) Good Thing oleh Weezer, serta hasil karya penyanyi seperti Stevie Nicks, menuntut ganti rugi bernilai sekurang-kurangnya AS$1.6 bilion dengan injunksi.

Spotify gagal mendapat lesen wajib atau secara terus daripada Wixen yang membolehkan ia menerbitkan semula dan mengedar lagu, kata Wixen dalam saman tersebut yang difailkan di mahkamah California.

Wixen juga mendakwa Spotify melakukan penyumberan luar kepada pihak ketiga, iaitu pembekal perkhidmatan lesen dan royalti, Harry Fox Agency, yang juga tidak menepati syarat pelesenan.

Spotify enggan untuk mengulas tentang perkara itu.

Spotify yang merancang untuk disenaraikan dalam pasaran saham tahun ini, telah berkembang kira-kira 20 peratus kepada sekurang-kurangnya AS$19 bilion dalam beberapa bulan kebelakangan ini.