KELAB bola sepak Jerman, Borussia Dortmund menjadikan sebahagian stadium bola sepak mereka kepada pusat perubatan pandemik COVID-19.

Kelab Bundesliga itu memaklumkan, stadium terbesar di negara itu akan dijadikan hospital sementara untuk merawat mangsa yang dijangkiti wabak tersebut.

Menurut Pengurus BVB, Carsten Cramer, ini adalah antara pengorbanan yang dapat dilakukan pihaknya untuk membantu mangsa yang dijangkiti COVID-19 di negara itu.

"Dalam masa sukar ketika ini, pertolongan adalah amat penting dan jika kami dapat menjadikan stadium sebagai pusat perubatan, maka ia adalah pengorbanan yang dilakukan Borussia Dortmund.

"Ketika kami diminta untuk melakukan pengubahsuaian itu, kami memikirkannya dan amat gembira untuk membantu dan melihat perubahan di stadium BVB," jelasnya.


Pusat perubatan sementara itu didirikan selepas beberapa pusat perubatan sedia ada di negara itu dipenuhi dengan pesakit jangkitan yang kian meningkat di negara itu.

Stadium yang diubah menjadi pusat perubatan itu akan mula beroperasi pada Sabtu.

Sebelum ini Jerman mengumumkan beberapa langkah untuk menangani penularan pandemik itu seperti melarang sebarang aktiviti yang melibatkan orang ramai sehingga 19 April ini.