SEBUAH stesen kereta api laju Haramain di Jeddah, Arab Saudi, dilaporkan terbakar pada Ahad.

Menurut kenyataan Perkhidmatan Pertahanan Awam Jeddah yang dimuat naik di laman Twitter, kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 12.35 tengah hari waktu tempatan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Sementara, sebuah rakaman video dimuat naik di laman Twitter memaparkan kepulan asap tebal menyelubungi stesen kereta api tersebut.

Turut kelihatan pasukan keselamatan dan sebuah helikopter sedang giat memadamkan kebakaran tersebut.


Untuk rekod, rangkaian kereta api Haramain mula beroperasi pada September tahun lalu.

Projek kereta api laju sejauh 450 kilometer itu menelan belanja RM30.69 bilion.

Dengan kelajuan 300 kilometer sejam, ia menghubungkan lima stesen iaitu Mekah, Jeddah, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Bandar Ekonomi Raja Abdullah (KAEC) di Rabigh, serta Madinah.

Satu perjanjian ditandatangani pada tahun 2011, di mana pembinaan kereta api laju itu dijalankan oleh sebuah konsortium Sepanyol.