Seorang cedera apabila sebuah stesen televisyen di Pakistan dikejutkan dengan serangan tembakan dan ledakan bom tangan pada Rabu, oleh penyerang yang menaiki motosikal.

Dalam insiden di pejabat ARY News di Islamabad itu, seorang pengarang telah dikejarkan ke hospital akibat kecederaan di kepala akibat terkena serpihan peluru.

Beberapa anggota pengawal keselamatan telah bertindak dalam serangan itu lalu membuatkan penyerang tersebut melarikan diri.

Penyerang itu bagaimanapun sempat meninggalkan risalah yang memapar maklumat tentang wilayah yang dikuasai penyokong Daish dari Khorasan, termasuk dari Afghanistan dan Pakistan.

Risalah yang ditinggalkan itu menyatakan bahawa pihak Daish mengaku bertanggungjawab dalam serangan ke atas institusi media tersebut kerana dikatakan ‘menyebelahi tentera dan kerajaan Pakistan yang menentang Islam’.

Tentera Pakistan kini sedang memerangi Taliban dan kumpulan militan lain di wilayah barat laut negara itu bersempadan dengan Afghanistan.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Taliban Afghanistan dan Pakistan telah bersumpah untuk menyokong Daish, walaupun kaitannya dengan kepimpinan militan dari Asia Barat itu masih kurang jelas.