Pakar kaji cuaca menjangkakan bahawa suhu sepanjang bulan Ramadan di kebanyakan tempat di Arab Saudi boleh mencapai sehingga 65 darjah Celsius, lapor portal berita Al Arabiya.

Pakar berkenaan, Abdul Rahman Mohammed Al-Ghamdi berkata, suhu di kawasan redup juga mencapai 50 darjah Celsius apatah lagi jika berada secara terus di bawah terik matahari.

Walaupun ini hanya suatu jangkaan yang diharapkan tidak terjadi, namun sekiranya benar, rekod itu bakal menjadi suhu tertinggi pernah dicatatkan sekali gus memadamkan rekod terdahulu iaitu 56.7 darjah Celsius di Death Valley, California pada tahun 1913.

“Musim panas akan berlaku di hemisfera utara pada 21 Jun iaitu ketika matahari tepat berada di atas kumpulan bintang Cancer seterusnya memanaskan banyak kawasan di bumi Arab,” jelasnya.

Abdul Rahman berkata suhu tinggi berkenaan bakal akan bergabung dengan tekanan angin panas dan kelembapan dari India yang akan menambah lagi kepanasan di negara Asia Barat tersebut.

Selain itu, menurutnya, faktor-faktor lain yang mungkin menambah kepada suhu panas itu adalah pengeluaran karbon daripada perindustrian dan juga kenderaan.

“Perkembangan ini adalah lanjutan daripada siri gempa bumi dan kebakaran yang kini banyak berlaku di segenap sudut dunia,” ujarnya.