Presiden Republik Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) akan memberikan kata putus mengenai status Suryadharma Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia setelah beliau dinamakan sebagai suspek di dalam kes penyelewengan dana haji 2012-2013 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK).

"Mengenai Suryadharma, sebaik sahaja saya tiba di Jakarta, saya akan memberikan keputusan yang sewajarnya agar beliau dapat beri tumpuan dengan dakwaan tersebut," kata Susilo seperti yang dilaporkan oleh portal berita Jakarta Globe.

SBY juga berkata beliau tidak mahu urusan-urusan kerajaan yang melibatkan hal ehwal agama di Indonesia terganggu ekoran kes yang sedang terjadi yang melibatkan Suryadharma.

"Seorang menteri seharusnya fokus di dalam menjalankan kerja-kerja yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya oleh rakyat dan tidak seharusnya diganggu," tambah SBY.

Berkaitan dengan penamaan Suryadharma sebagai suspek oleh KPK, Susilo ketika ditemui di Forum Ekonomi Dunia di Manila, Filipina berharap pihak KPK dapat menjalankan siasatan dengan telus dan sempurna.

"Saya berharap semuanya berjalan mengikut prosedur dan undang-undang yang telah ada. Walaupun yang didakwa adalah seorang menteri," ujar beliau.

Selain menjadi suspek bagi kes penyelewengan dana haji, pihak KPK telah menolak dakwaan aktivis, Ray Rangkuti yang mengesyaki Suryadharma telah menyeleweng dana haji dan disalurkan ke akaun parti politik pimpinan beliau.

"Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan bahawa dana tersebut telah disalurkan ke dalam akaun PPP," jelas Timbalan Pengarah KPK, Busyro Muqoddas.

Khamis lalu, Menteri Hal Ehwal Agama yang juga merangkap Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan (PPP) telah dinamakan oleh KPK sebagai suspek di dalam kes penyelewengan dana haji yang dikelolakan oleh kerajaan pada tahun 2012-2013.