Suspek yang melakukan serangan di ibu pejabat polis berdekatan Notre Dame Cathedral di sini Khamis lalu dipercayai mempunyai hubungan dengan gerakan ultra konservatif Islam.

Pihak pendakwa, Jean-Francois Ricard berkata penyerang yang bersenjatakan pisau seramik dan menikam mati empat anggota keselamatan dipercayai berhubungan dengan anggota gerakan pelampau.

Bagaimanapun, Ricard dalam sidang media tidak mengulas lanjut mengenai dakwaannya itu.

Jelas Ricard, siasatan awal membuktikan wujud "keganasan melampau" dalam serangan yang berlangsung selama tujuh minit itu.

Suspek turut dipercayai terlibat dalam keganasan rumah tangga sejak sedekad lalu.

Tambah Ricard, polis kini menahan reman isteri suspek sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

Wanita itu dilaporkan menghantar 33 mesej teks kepada suaminya mengenai Islam sebelum serangan berlaku.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa memaklumkan penyerang yang tidak didedahkan identiti itu bekerja dengan pasukan keselamatan Paris sejak tahun 2003 dan tidak mempunyai sejarah masalah mental.

Dia dilaporkan memeluk Islam 18 bulan lalu.

Terdahulu, sekurang-kurangnya empat anggota keselamatan terbunuh manakala seorang cedera dalam insiden serangan yang berlaku kira-kria 1 tengah hari waktu tempatan itu.

Penyerang yang merupakan staf di premis berkenaan maut ditembak.

Siasatan awal pihak berkuasa memaklumkan kejadian itu dipercayai berlaku akibat perselisihan dalaman.