Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong kenyataan Pemuda UMNO yang mahukan Kementerian Kewangan dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi penjelasan berhubung pembelian sebidang tanah oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun transaksi jual beli itu sah dan berdasarkan kesediaan pembeli-kesediaan penjual, para penyimpan Tabung Haji melihatnya seolah-olah mereka terpaksa menanggung beban 1MDB.

BACA: Tabung Haji, sila beri penjelasan berhubung jual beli tanah TRX - Pemuda UMNO

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata demikian kepada media Malaysia di sini pada Jumaat.

Beliau dalam rangka lawatan kerja rasmi tiga hari ke sini sejak semalam.

Dalam kenyataannya, Pemuda UMNO menzahirkan kebimbangan berhubung pembelian tanah itu daripada 1MDB yang bernilai RM188.5 juta.

Pemuda UMNO meminta supaya penjelasan dibuat bagaimana transaksi pembelian tanah itu dilakukan.