Gara-gara 'sub-kontrak' kerja membunuh, lima lelaki di China bukan sahaja kempunan mendapat habuan, malah, dihukum penjara walaupun gagal melaksanakan tugas berkenaan.

Ahli perniagaan Tan Youhui pada mulanya mengupah salah seorang daripada mereka untuk membunuh pesaingnya, Wei Mou, dengan bayaran 2 juta yuan (£218,000).

Namun, pembunuh upahan pertama memulakan tawaran 'sub-kontrak' kepada individu lain dengan bayaran separuh upahan diberikan.

Kerja 'sub-kontrak' berkenaan berterusan sehingga ke pembunuh upahan kelima.

Pecahan kerja berkenaan menyebabkan upah diberikan semakin berkurang, sekali gus menyaksikan pembunuh kelima bertindak membocorkan rahsia kepada sasaran mereka, Wei Mou.

Mou dicadangkan untuk memalsukan kematiannya.

Polis bagaimanapun, berjaya menghidu komplot pembunuhan berkenaan.

Perancang utama pembunuhan, Tan Youhui kemudian dijatuhi hukuman penjara lima tahun, manakala, pembunuh upahan pertama dipenjara tiga tahun enam bulan.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun tiga bulan ke atas pembunuh upahan kedua dan ketiga.

Manakala, pembunuh upahan keempat dan kelima masing-masing menerima hukuman penjara tiga tahun dan dua tahun tujuh bulan.