Sebuah keluarga di Sulawesi, Indonesia terpaksa mengusung jenazah ahli keluarga sejauh 60 kilometer (km) kerana tidak mampu membayar tambang kapal terbang.

Razi Tantah yang meninggal dunia pada Selasa sepatutnya dibawa menaiki pesawat ringan, namun dek kekangan kewangan, keluarganya terpaksa memilih sama ada menggunakan motosikal ataupun berjalan kaki.

Harga tiket pesawat dilapor mencecah 50 juta rupiah (kira-kira RM14,300) membuatkan keluarga itu membatalkan hasrat itu.

Mereka akhirnya memilih untuk memikul jenazah dalam perjalanan yang mengambil masa selama 18 jam untuk mengebumikanny di Luwu Utara, Sulawesi Selatan, lapor tribunnews.

Mereka terpaksa menggunakan tandu selain menempuh jalan berlumpur serta tebing curam sebelum tiba di kampung halaman Razi.