“Steve Bannon bukan sahaja kehilangan kerja, malah hilang akal selepas dipecat dari White House," kata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam satu kenyataan pada Rabu.

Trump membidas kenyataan bekas Ketua Strategi White House itu yang dinyata dalam sebuah buku baharu hasil penulisan Michael Wolff.

Dalam pendedahannya, Bannon menggambarkan pertemuan anak lelaki presiden itu dengan pegawai kerajaan Rusia di Trump Tower, New York sewaktu kempen pilihan raya 2016 adalah sebagai pengkhianatan dan tidak patriotik.

Dalam pertemuan pada Jun 2016 itu, Donald Trump Jr dilaporkan ditawarkan bantuan untuk merosakkan maklumat seorang lagi calon presiden, Hillary Clinton.

Selain Donald Trump Jr., pertemuan itu turut melibatkan menantunya Jared Kushner pengerusi kempen, Paul Manafort dan peguam Rusia, Natalia Veselnitskaya.

Antara lain, buku "Fire and Fury: Inside the Trump White House" juga mendedahkan, kisah disebalik White House termasuk Trump tidak pernah menjangka kemenangannya semasa Pilihan Raya Presiden 2016 yang lalu.

Pendedahan dalam buku itu ditulis bedasarkan dari 200 wawancara yang dilakukan Wolff sebelum ini.

Oktober lalu, Trump pernah memuji Bannon yang disifatkan sangat komited malah menganggapnya sebagai kawan.

"Steve (Steve Banon) sangat komited, dia kawan saya dan dia sangat komited dalam menguruskan perkara-perkara yang berlaku. Maksud saya, walaupun apa yang ditulis media tetapi saya mempunyai hubungan yang hebat dengan ramai senator khususnya dari Republikan,” katanya dalam dalam satu temubual pada Oktober lalu.