Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ekoran bencana tanah runtuh yang berlaku di kawasan penanaman padi di Brebes, Pulau Jawa, masih diteruskan bagi menyelamatkan 18 mangsa yang tertimbus, lapor Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNBP) Indonesia.

Kejadian menyayat hati itu turut mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang serta memusnahkan kawasan kebun yang menjadi tempat mencari rezeki penduduk kampung.

Seramai 14 mangsa yang tercedera telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Pasukan SAR yang terdiri daripada penduduk kampung dan tentera menggunakan tangan dan peralatan pertanian untuk menggali tanah bagi menyelamatkan mangsa yang tertimbus.

Menurut jurucakap badan bencana tempatan, tanah runtuh yang berlaku berdekatan kawasan perhutanan adalah berpunca daripada hujan lebat.

Pihaknya menggesa orang ramai tinggal berjauhan daripada kawasan hutan itu kerana kawasan itu masih berisiko untuk berlaku tanah runtuh selanjutnya.

Musim hujan yang sedang berlaku di Indonesia mengakibatkan beberapa kawasan seluruh negara berlaku banjir dan tanah runtuh.