Sebuah tasik bawah tanah yang besar telah ditemui buat pertama kali di planet Marikh, sekali gus meningkatkan kemungkinan terdapat lebih banyak sumber air malah kewujudan hidupan, menurut ahli astronomi antarabangsa, hari ini.

Menurut laporan diketuai penyelidik Itali yang diterbitkan dalam jurnal sains Amerika Syarikat, ia terletak di bawah lapisan ais dan berkeluasan kira-kira 20 kilometer (km).

Ia merupakan cecair terbesar pernah ditemui di planet merah tersebut.

"Ini adalah hasil yang mengagumkan, air di Marikh bukan suatu lopak sementara seperti penemuan terdahulu tetapi sumber air berterusan untuk tempoh masa yang lama," kata Prof Madya, Alan Duffy di Universiti Swinburne di Australia.

Marikh yang kini sejuk dan kering dipercayai pernah mempunyai persekitaran yang lembap serta pernah mempunyai beberapa sumber air serta tasik kira-kira 3.6 bilion tahun lalu.

Saintis kini sedang mencari tanda air kontemporari kerana penemuan sedemikian adalah kunci untuk merungkai misteri sama ada hidupan pernah wujud di planet merah itu.

Air tasik itu bagaimanapun tidak boleh diminum dan terletak hampir 1.5 km di bawah permukaan berais dalam persekitaran dingin.

"Ini adalah penemuan penting yang luar biasa, dan terikat untuk meningkatkan spekulasi mengenai kehadiran organisma hidup di Planet Merah," Fred Watson, Astronomi Australia.

Penemuan itu dibuat menggunakan peralatan radar Pengorbit Ekspres Marikh milik Agensi Angkasa Eropah yang dilancarkan pada 2003.