Taufan Doksuri yang sedang bergerak menuju ke Vietnam diramalkan berada pada tahap 11 hingga 12 (tahap maksimum 18) dengan kelajuan angin dijangka mencecah 150 kilometer sejam, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Doksuri diramal mendarat pada tengah hari dan petang ini. Ia dijangka membadai wilayah tengah Vietnam termasuk wilayah Nghe An, Ha Tinh, Quang Binh dan Quang Tri.

Laporan terbaharu Pusat Ramalan Kebangsaan Hidro-Meteorologi (NCHMF) pada 9 malam, Khamis mengatakan kekuatan angin ialah 135 kilometer sejam.

NCHMF meramalkan curahan hujan sehingga 400 milimeter di Ha Tinh, Quang Binh dan Quang Tri manakala kawasan lain sebanyak 300 milimeter.

Banjir dijangka berlaku di wilayah Thanh Hoa hingga ke wilayah Quang Ngai antara Khamis dan Ahad.

Amaran banjir yang dicetuskan akibat hujan lebat turut membabitkan bandar Vinh, Ha Tinh, Dong Hoi, Quang Tri dan Hue.

Di wilayah Nghe An, sekolah ditutup sehingga taufan bergerak meninggalkan wilayah berkenaan.

Sementara di Thanh Hoa pula, pihak berkuasa di kawasan pergunungan diarahkan membuat perancangan untuk memindahkan kira-kira 247,867 penduduk yang tinggal di kawasan berisiko berlakunya tanah runtuh dan banjir kilat.

-- BERNAMA