Kekuatan Taufan Hagupit mencatatkan aktiviti yang melemah sedikit selepas memasuki pantai tengah Filipina bermula semalam.

Perkembangan itu menjadikan beberapa lokasi terselamat daripada impak buruk bencana taufan berkenaan.

Jabatan Meteorologi sebelum ini meramalkan kelajuan angin yang dibawa bersama Hagupit boleh mencecah sehingga 180 kilometer sejam (km/j), namun hari ini ia bergerak pada kelajuan 140km/j. Bagaimanapun, dengan kelajuan itu ia masih mampu mengakibatkan kemusnahan.

Sehingga kini hampir 800 ribu penduduk telah dipindahkan dengan kebanyakannya ialah mereka yang trauma dengan bencana Taufan Haiyan tahun lalu. Selain itu, lebih 1,000 orang masih berada di pusat perlindungan kecemasan.

Hagupit setakat ini telah meragut tiga nyawa di Dolores iaitu kawasan yang pernah terjejas teruk dibadai Haiyan pada November tahun lalu.

Persiapan dan tindakan pantas pemerintah Filipina yang belajar daripada pengalaman menangani Haiyan dahulu banyak membantu pihak berkuasa dan keselamatan meminimumkan impak kecederaan dan risiko korban nyawa pada kali ini.

Manila telah mengerahkan 120 ribu tentera bagi persediaan menghadapi bencana alam itu.

Kedatangan Taufan Hagupit sejak Jumaat lalu telah menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran berpindah kepada hampir setengah juta penduduknya.