Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dalam kejadian ribut St Jude yang melanda rantau eropah dengan enam daripada korban dicatatkan di Jerman.

Empat orang maut selepas kereta mereka ditimpa pokok di barat Jerman.

Manakala dalam kejadian berasingan, seorang nelayan dan kelasi hilang di laut ekoran angin kencang itu.

Manakala di barat Perancis seorang wanita dihanyutkan ke pantai, begitu juga seorang wanita yang hilang di Amsterdam.

Menurut ahli meteorologi, angin kencang dengan kelajuan sehingga 191 kilometer sejam direkodkan di timur laut eropah.

Sementara itu perkhidmatan keretapi dan kapal terbang terus tergendala di seluruh London dan barat laut Jerman.

Di lapangan terbang antarabangsa Schiphol, 50 penerbangan terpaksa dibatalkan.

Cuaca buruk itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 42 ribu rumah di timur Perancis bergelap selepas angin kencang merosakkan saluran bekalan elektrik.

Di United Kingdom pula, bekalan elektrik yang terputus di lebih 600 ribu rumah mula kembali beroperasi.

Taufan St.Jude pernah melanda Britain pada 1987 dengan mengorbankan 18 penduduk dan menumbangkan kira-kira 15 juta pokok.