Jumlah kematian akibat Taufan Mangkhut yang melanda Filipina Jumaat dilaporkan meningkat kepada 59 setakat ini, apabila lebih ramai mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh berjaya ditemui.

Pihak berkuasa tempatan berkata, operasi mencari akan diteruskan pagi Isnin dalam usaha membawa keluar 24 pelombong yang dikhuatiri maut selepas kem mereka ditimbus tanah runtuh berhampiran bandar Baguio.

BACA: Taufan Mangkhut: Angka korban cecah 49 orang

Disifatkan taufan terburuk tahun ini, Mangkhut turut membadai China setelah meninggalkan kemusnahan teruk di Hong Kong dan Macau.

Mangkhut membadai Hong Kong dengan kelajuan angin melebihi 230 kilometer sejam dan mencederakan lebih 200 orang sebelum tiba di bandar Jiangmen di selatan wilayah Guangdong pada Ahad.

Pihak berkuasa wilayah mengatakan sejumlah 2.37 juta penduduk telah dipindahkan, manakala puluhan ribu bot nelayan diarahkan kembali ke pelabuhan sebelum ketibaan 'Raja Taufan' itu.

Sementara itu, China Central Television (CCTV) melaporkan, taufan Mangkhut telah meragut dua nyawa di Guangdong. - Agensi