Tutup

Berita  | Dunia

Taufan Patricia landa barat daya Mexico

Taufan Patricia landa barat daya Mexico
Laporan awal mendapati berlaku banjir dan tanah runtuh, tetapi tiada kematian atau kerosakan besar dilaporkan setakat ini. -Foto AFP
MEXICO: Taufan Patricia mula melanda barat daya Mexico pada Jumaat yang membawa hujan lebat, ombak besar dan angin kuat.

Dengan anggaran kelajuan angin pada 325 kilometer sejam, taufan yang awalnya diletakkan pada kategori lima, iaitu tahap paling membinasakan, diramal akan menyebabkan kerosakan amat dahsyat.

Namun, laporan terbaharu menyebut bahawa kerosakan yang dialami setakat ini tidak seteruk yang dijangka.

"Dengan maklumat yang diperoleh setakat ini dan dengan mengambil kira fenomena cuaca semasa, laporan awal mengesahkan kerosakan yang dialami lebih kecil berbanding tahap yang sepatutnya," kata Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto dalam satu siaran televisyen.
Beliau, bagaimanapun berkata ia masih merupakan satu ancaman.


Laporan awal mendapati berlaku banjir dan tanah runtuh, tetapi tiada kematian atau kerosakan besar dilaporkan.
Pegawai rasmi negara mengisytiharkan darurat di beberapa daerah di Colima, Nayarit dan Jalisco.

Kira-kira 90 orang termasuk warga emas yang berkerusi roda dan kanak-kanak bersama ibu bapa keluar mencari tempat perlindungan di Pusat Palang Merah di Puerto Vallarta.

Sebelum ini, Pusat Suruhanjaya Air Kebangsaan Mexico telah mengeluarkan amaran ribut tropika Patricia yang diramal melanda Pasifik dan menghala ke kawasan perairan di daerah Jalisco.

Patricia pada mulanya hanyalah ribut tropika, namun berubah menjadi taufan dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Patricia turut disifatkan sebagai taufan yang sangat berbahaya yang pernah melanda hemisfera barat.