Kejadian tembakan di ibu pejabat YouTube di California bukan bermotifkan pengganas.

Memetik laporan portal berita MSNBC, kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan pergaduhan peribadi di antara suspek dan mangsa.

Setakat ini, identiti suspek masih belum diumumkan kepada media namun saksi di tempat kejadian berkata suspek merupakan seorang wanita berumur 30-an dan memakai kaca mata dan skarf di mukanya.

Suspek yang memulakan tembakan di kafeteria turut menembak dirinya sendiri selepas melepaskan tembakan ke atas sasaran. Suspek maut di tempat kejadian.

Sementara itu, tiga mangsa yang mengalami kecederaan ditembak, seorang lelaki berusia 36 tahun dan dua wanita, masing-masing berumur 32 tahun dan 27 tahun, kini dirawat di Hospital Awam Zuckerberg.

Mangsa lelaki dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Wad 1 sementara dua mangsa wanita mengalami kecederaan serius.

Seorang lagi mangsa turut dilaporkan cedera namun akibat percubaan melarikan diri dari tempat kejadian dan bukan ditembak.

Menurut Ketua Polis San Bruno, situasi di ibu pejabat YouTube telah dilaporkan selamat dan setiap pekerja di syarikat penstriman video itu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Tambahnya suspek menggunakan senjata jenis ‘handgun’ namun masih belum dipastikan model senjata api tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Google Sundar Pichai mengeluarkan kenyataan sejurus kejadian dan menyatakan kesediaan ibu syarikat YouTube tersebut untuk menghulurkan bantuan kepada warga pekerja YouTube.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menerusi perkongsian Twitternya berkata beliau telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut selain memuji usaha pasukan keselamatan dan pihak bertugas yang mententeramkan keadaan.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan polis New York, penembak rambang daripada golongan wanita adalah sesuatu yang jarang berlaku. Sejak 30 tahun lalu, hanya tiga kes tembakan rambang melibatkan wanita.

Malah, hanya lapan dari 230 kes tembakan di Amerika Syarikat dari tahun 1966 hingga 2012 melibatkan kaum wanita.

Menurut Sherry Hamby, Professor Psikologi di Universiti South di Tennessee, kajian turut menunjukkan bahawa jenayah keganasan selalunya melibatkan golongan lelaki.