Tentera Diraja Thailand (RTA) pada Khamis menerima kumpulan pertama kenderaan berperisai infantri Stryker (ICV) dari Amerika Syarikat (AS).

Panglima Pasifik Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Robert B. Brown menyerahkan 10 Strykers kepada Panglima Angkatan Tentera Thailang Apirat Kongsompong di ibu pejabat RTA di sini.

Kenderaan ICV baharu itu akan ditempatkan di Rejimen Infantri ke-11 di wilayah Chachoengsao, dalam usaha untuk menaik taraf dan memodenkan kapasiti bahagian itu.

Dalam satu kenyataan, RTA berkata pemerolehan itu adalah sebahagian daripada Penjualan Kelengkapan Asing (FMS), "pada harga yang berpatutan".

"Dengan adanya kenderaan berperisai ini, RTD akan berada dalam siap siaga untuk sebarang keadaan untuk melindungi rakyat dan negara," katanya.

Di bawah FMS, RTA memperoleh 37 Stryker ICV pada harga US$84 juta dan Amerika Syarikat akan menyediakan tambahan 23 Stryker ICV secara percuma.

Kenyataan itu berkata bahawa pembaikan kenderaan perisai itu mengambil masa enam bulan.

"Ini dianggap masa terpantas dalam perjanjian FMS kerana ia melibatkan sejumlah agensi Amerika Syarikat untuk menyelaras melalui proses kelulusan kabinet," katanya.

Bangkok Post melaporkan bahawa Stryker ICV dikeluarkan oleh General Dynamics Land Systems yang berpangkalan di Michigan.

Kenderaan berperisai itu berada dalam perkhidmatan sebelum disimpan di gudang senjata simpanan dan kemudian dijual sebagai lebihan. Kenderaan tersebut diselenggara dengan baik sebagai peralatan simpanan.

Apirat memberitahu media bahawa sebelum ini Amerika Syarikat menyediakan bantuan teknikal dalam pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan itu.

-- BERNAMA