Krisis politik Zimbabwe semakin membarah selepas tentera negara itu dilaporkan menawan pusat penyiaran rasmi negara itu, ZBC.

Saksi turut menyatakan mereka mendengar tiga letupan di ibu negara, Harare.

Laporan media tempatan menyebut, kakitangan ZBC tidak diapa-apakan sebaliknya tentera hanya melindungi kawasan berkenaan.

Parti pimpinan Presiden Zimbabwe Robert Mugabe sebelum ini menuduh komander tentera negara itu Constantino Chiwenga, berpaling tadah kerana didakwa cuba campur tangan dalam menangani kemelut politik dalaman.

Ia selepas konvoi bersenjata dilihat mara ke luar Harare.

Chiwenga sebelum ini memberi amaran campur tangan tentera bagi menyelesaikan krisis politik Zimbabwe.

Kenyataan dibuat selepas Mugabe memecat Naib Presiden Emmerson Mnangagwa, yang disokong tentera.
Tindakan dipercayai bagi memberi laluan kepada isterinya Grace Mugabe untuk dilantik ke jawatan berkenaan.