Ketua Imigresen Sa Kaeo, Kolonel Pairat Pukcharoen, dan lima lagi pegawai mendapat arahan untuk berpindah tugas serta-merta ke Bangkok kerana didakwa menerima rasuah, lapor portal berita Bangkok Post.

Laporan yang dipetik daripada Thairath Online itu menyatakan bahawa tindakan mengejut itu susulan daripada pengakuan suspek warga asing dalam insiden bom di Kuil Erawan memberitahu polis bahawa dia telah membayar pegawai imigresen di Sa Kaeo untuk memasuki Thailand.

Sa Kaeo merupakan bandar pintu masuk ke Thailand yang bersempadan dengan Kemboja.

Ketua Polis Thailand Somyot Poompunmuang telah mengarahkan keenam-enam pegawai tersebut untuk melapor diri di pusat operasi Polis Diraja Thailand pada 3 September jam 3 petang.

FOTO: Letupan bom gegar Bangkok

FOTO: Bangkok sesudah letupan

FOTO: 4 mayat rakyat Malaysia dibawa pulang

Suspek warga asing yang ditahan di sebuah apartmen di Nong Chok pada 29 Ogos lalu berkata dia menggunakan pasport palsu dalam penerbangan dari Turki ke Vietnam sebelum merancang meneruskan perjalanan ke Laos.

Dari Laos, dia menyewa kenderaan untuk membawanya ke Kemboja, dan memasuki Thailand melalui pusat pemeriksaan sempadan di Sa Kaeo. Di situ, dia membayar sebanyak 18,000 baht (RM2,110) kepada pegawai imigresen agar meloloskannya masuk tanpa perlu menggunakan pasport palsu.

Suspek dipercayai warga Turki yang ditahan dalam serbuan di sebuah apartmen di Nong Chok itu ditemui bersama perkakasan membuat bom dan lebih sedozen pasport palsu. Dia merupakan suspek utama dalam serangan di Kuil Erawan yang mengorbankan lebih 20 orang.