Thailand telah dikecualikan daripada senarai amatan US Notorious Markets yang dikeluarkan baru-baru ini, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Menteri Perdagangan Thailand, Sontirat Sontijirawong, telah mengumumkan bahawa setakat 11 Jan, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) telah menyiarkan satu senarai semakan baharu pengingkar harta intelek bagi 2017 yang bertajuk "Out-of-Cycle Review of Notorious Markets" yang merangkumi Pasaran Fizikal dan Pasaran Dalam Talian.

Thailand, buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun, telah dikeluarkan daripada senarai itu.

Antara 2007 hingga 2016, Thailand telah dikategori sebagai antara "13 Most Notorious Markets" di dunia.

Ini merangkumi daerah perdagangan Panthip Plaza, Klong Thom, Saphan Lek dan Ban Moh, pasar minggu Chattuchak, Pusat Beli-Belah MBK, pasar minggu Wittayu dan pasar di sepanjang Sukhumvit Soi 3-19 dan daerah Patpong di Bangkok.

Pasaran lain di luar Bangkok termasuk pantai Patong dan Karon di wilayah Phuket, IT City di Pattaya dan Pasar Roang Klua di wilayah Sa Kaeo.

Kesemua lokasi ini telah diserbu dan diambil tindakan secara rasmi.

Rekod menunjukkan bahawa sejumlah 700 kes tangkapan telah dilakukan di kesemua lokasi, yang menyaksikan hampir 150,000 item dirampas antara Januari dan September 2017.

Hasilnya, hanya MBK kekal dalam senarai Notorious Markets seperti yang diumumkan sebelum ini manakala yang lain telah dibersihkan dalam pengumuman terbaharu.

Sontirat berkata USTR secara terbuka turut memuji usaha yang dilakukan oleh pentadbiran di bawah Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha dalam menangani secara langsung dan menyelesaikan isu itu dengan pantas serta memperoleh hasilnya seawal tahun 2017.

-- BERNAMA