Tutup

Berita  | Dunia

Thailand jangka tempoh sebulan siasat punca pesawat 'Gripen' terhempas

Thailand jangka tempoh sebulan siasat punca pesawat 'Gripen' terhempas
Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) memberi tempoh sebulan untuk menyiasat punca pesawat pejuang 'Gripen' terhempas. - fotoBERNAMA
SONGKLA: Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) memberi tempoh sebulan untuk menyiasat punca pesawat pejuang 'Gripen' terhempas di Lapangan Terbang Hatyai, semalam.

Pengarah Pejabat Keselamatan RTAF Naib Marshal Udara, Sorakit Mangsing berkata tempoh itu diperlukan untuk menyiasat pelbagai faktor yang mungkin menyebabkan kemalangan tersebut.
"Pelbagai faktor perlu dikaji termasuk keadaan juruterbang, persekitaran di udara dan lain-lain. Ia juga perlu mengambil kira faktor sains dan kejuruteraan. Siasatan awal belum menunjukkan tentang punca," katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pesawat berada dalam keadaan baik sebelum penerbangan semalam dan telah menjalani pemeriksaan teliti, manakala juruterbang juga dalam keadaan sihat.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Hospital Songkla Nakharin, Hatyai apabila keluarga juruterbang, Kapten Dilokrit Patawee, 35, tiba untuk menuntut mayatnya bagi dibawa pulang ke Bangkok.

Dalam kejadian pukul 9.27 pagi waktu tempatan (10.27 waktu Malaysia) semalam, pesawat pejuang 'Gripen' buatan Sweden yang dipandu Dilokrit terhempas ketika mengadakan penerbangan pertunjukkan sempena sambutan Hari Kanak-Kanak di Lapangan Terbang Hatyai.

Kemalangan ngeri itu berlaku di hadapan ratusan penonton termasuk kanak-kanak yang hadir untuk menyaksikan pertunjukkan udara tersebut.

RTAF memiliki kira-kira 16 pesawat pejuang moden buatan syarikat Saab dari Sweden itu, dengan kebanyakannya beroperasi dari pangkalan udara di Surat Thani, selatan Thailand.

Thailand merupakan pengguna tunggal pesawat pejuang 'Gripen' di rantau Asia Tenggara.

-- BERNAMA