THAILAND melanjutkan sekatan ke atas semua penerbangan antarabangsa daripada memasuki negara itu sehingga 18 April, bagi membendung pandemik COVID-19.

Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT), Chula Sukmanop, berkata sebelum ini larangan itu berkuat kuasa pada Sabtu lalu sehingga Isnin.

Katanya, perkembangan terkini menyaksikan larangan penerbangan pesawat penumpang antarabangsa ke Thailand akan dilanjutkan dari 6 April hingga 18 April.

Jelasnya, semua permit penerbangan yang diberikan sepanjang tempoh berkenaan akan dibatalkan.

Beliau berkata, penumpang yang tiba sebelum perintah itu berkuat kuasa perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Thailand mengisytiharkan darurat bermula 26 Mac hingga 30 April.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 2,220 kes COVID-19 dengan 26 kematian.

Larangan itu dijangka menjejaskan usaha rakyat Thailand yang terkandas di luar negara untuk pulang, termasuk 35 orang yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.