Thailand merancang mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) untuk negara itu menimbang semula penggantungan layanan bebas cukai ke atas beberapa produk Thailand di bawah program Sistem Keutamaan Am (GSP) pada Sidang Kemuncak Asia Timur yang akan diadakan di Bangkok, Isnin depan.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Luar Kementerian Perdagangan Keerati Ratchano berkata Thailand merancang menubuhkan pasukan untuk berunding dengan AS selepas Presiden Donald Trump mengumum menggantungkan keutamaan perdagangan bagi 573 item barangan dieksport dari Thailand, yang akan berkuat kuasa 25 April tahun depan.

"Thailand akan berusaha keras untuk meminta AS menimbang semula keputusannya pada Sidang Kemuncak Asia Timur yang akan datang. Ia akan menjadi pentas pertama bagi Thailand untuk berunding dengan AS.

"Thailand akan cuba mendapatkan lebih banyak rundingan di pentas lain termasuk mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) serta forum dan platform lain," katanya pada sidang media, di sini, pada Isnin.

Sidang Kemuncak Asia Timur akan diadakan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di IMPACT Exhibition and Convention Centre di Nonthaburi, barat laut Bangkok pada 4 November.

Langkah AS itu akan membawa kepada penggantungan bernilai AS$ 1.3 bilion dalam keutamaan perdagangan bagi Thailand di bawah GSP.

Ketika ini, program GSP merangkumi kira-kira AS$ 4.5 bilion daripada eksport Thai. Item penerima terbesar adalah perkakas elektrik dan elektronik seperti komponen penyaman udara, komponen elektronik dan mesin basuh, diikuti segmen makanan dan pertanian dan mesin.

Penggantungan GSP itu dijangka menjejaskan pertumbuhan eksport Thailand tahun ini. Penganalisis ekonomi mengunjurkan pertumbuhan eksport yang tidak berubah disebabkan oleh perang perdagangan antara AS-China serta pengukuhan nilai Baht.

Sementara itu, Keerati berkata Thailand sangat bergantung kepada keutamaan perdagangan GSP dalam kalangan 119 negara penerima manfaat GSP.

"Dengan penggantungan itu, kami terpaksa membayar kadar Layanan Negara Terbaik (MFN) kira-kira 4.5 peratus atau anggaran nilai 1.8 bilion Baht (AS$ 59.60 juta)," katanya.

Thailand merupakan penerima kedua terbesar daripada GSP AS selepas India, yang merupakan penerima terbesar GSP dengan 5.7 bilion dolar import ke AS pada 2017. Bagaimanapun, AS memutuskan untuk menamatkan penetapan India sebagai penerima manfaat pada Mei tahun ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Jabatan Perdagangan Luar berkata perbincangan akan diadakan dengan usahawan dan pengeksport untuk membincangkan lebih lanjut situasi tersebut dan pempelbagaian pasaran bagi mengurangkan impak kenaikan tarif.

--BERNAMA