Perkataan 'dara' perlu dikeluarkan daripada sijil perkahwinan orang Islam di Bangladesh.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi selepas ia dicabar kumpulan yang mendakwa istilah itu sebagai 'satu penghinaan dan diskriminasi'.

Di bawah undang-undang perkahwinan di negara itu, pengantin perempuan perlu memilih tiga pilihan yang terdapat dalam sijil tersebut sama ada kumari (dara), janda atau bercerai.

Timbalan Peguam Negara, Amit Talukder berkata, mahkamah mengarahkan kerajaan menggantikan istilah 'dara' dengan 'belum berkahwin'.

Mahkamah dijangka mengeluarkan keputusan penuh menjelang Oktober ini dan perubahan dalam sijil itu dijangka berkuat kuasa serta-merta.

"Ini adalah satu keputusan penting," kata peguam mewakili kumpulan yang memfailkan kes mencabar istilah itu pada 2014, Aynun Nahar Siddiqua semalam.

Mahkamah juga mengarahkan pihak berkuasa memperkenalkan pilihan 'belum berkahwin, duda atau bercerai' kepada pengantin lelaki menerusi sijil sama.

Difahamkan, kumpulan hak asasi sudah sekian lama mengkritik istilah itu yang digunakan dalam sijil perkahwinan tersebut sejak ia diperkenalkan pada 1961 kerana didakwa melanggar privasi wanita yang mahu berkahwin.