Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menegaskan beliau tidak akan membubar atau melakukan rombakan terhadap jabatan polis negara itu susulan desakan protes anti-perkauman.

Kenyataan itu menyusul selepas parti Demokrat mencadangkan penambahbaikan secara keseluruhan dalam prosedur polis sebagai tindak balas perundangan kepada tunjuk perasaan yang mengecam kematian orang kulit hitam di tangan penguat kuasa.

Antara penambahbaikan keadilan dalam perundangan polis itu adalah mengehadkan perlindungan undang-undang terhadap polis, membangunkan pangkalan data nasional mengenai insiden kekerasan berlebihan, dan melarang polis untuk cekik suspek.

Perundangan itu juga akan menyemak semula salah laku jenayah polis persekutuan untuk memudahkan pendakwaan pegawai terlibat.

Trump menyatakan kebimbangannya terhadap undang-undang itu sambil berkata 99 peratus penguat kuasa merupakan individu yang baik.

"Terima kasih banyak, ini satu penghormatan besar mempunyai beberapa pemimpin sejati di negara yang menegakkan undang-undang, dan itulah yang mereka lakukan, mereka menguat kuasa undang-undang. Mereka telah lakukan tugas dengan baik.

"Ada sebab mengapa aktiviti jenayah berkurangan. Ini kerana kita mempunyai penguatkuasaan undang-undang yang hebat.

"Saya amat bangga dengan mereka. Tiada pengurangan dana. Tiada rombakan dalam jabatan polis. Tiada pembubaran dalam polis.

"Pihak polis telah membolehkan kita hidup dengan aman. Jadi kita mahu pastikan tiada yang buruk dalam jabatan itu.

"Ada kalanya anda melihat sesuatu yang tidak baik seperti yang berlaku baru-baru ini, tetapi 99 peratus daripada mereka ialah orang yang baik dan hebat. Dan mereka telah melaksanakan tugas yang amat cemerlang," kata Trump.