Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand pada Rabu mengumumkan keputusan pilihan raya Thailand yang telah lama tertangguh, tujuh minggu selepas Pilihan Raya Umum pada 24 Mac lalu bagaimanapun tiada pihak yang jelas memenangi pilihan raya itu bagi membentuk kerajaan Thailand.

Pada Rabu, suruhanjaya itu mengumumkan keputusan yang lama dinanti-nantikan iaitu 149 daripada 150 senarai kerusi parti kerana satu kerusi iaitu Chiang Mai terpaksa mengadakan pilihan raya kecil.

Dalam pengumuman itu sebanyak 26 parti politik mendapat tempat daripada 149 senarai kerusi parti, jumlah tertinggi dalam sejarah negara itu.

Parti berorientasikan Pemuda Future Foward Party, diketuai bintang politik yang meningkat naik Thanathorn Juangroongruangkit mengetuai senarai kerusi parti dengan 50 kerusi diikuti Democrat 19 kerusi, Palang Pracharat (18), Bhumjaithai (12).

Sebanyak 13 parti kecil seperti Rak Dhamma, New Democracy dan Pracha Niyom masing-masing mendapat satu kerusi.

Parti Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan perdana menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra memenangi 137 daripada 250 kerusi kawasan pilihan raya , namun gagal memperolehi sebarang senarai kerusi parti kerana pengiraan senarai kerusi parti yang rumit yang menutup peluang mana-mana parti mendapatkan jumlah kerusi yang menguntungkan mereka.

BACA: Parti ada hubungan dengan Thaksin dahului dalam PRU Thailand

Sementara itu Timbalan Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya Sawaeng Boonmee berkata hanya 149 daripada 150 kerusi senarai parti yang telah disahkan kerana satu kerusi mengadakan pilihan raya kecil.

"Kaedah pengiraan adalah mengikut Hukum Undang-Undang Seksyen 128," katanya pada sidang akhbar.

BACA: Menjelang PRU Thailand: Demokrasi dinanti di peti undi

Media tempatan melaporkan satu kerusi diperuntukkan bagi setiap 30,000 undi yang diraih oleh sesebuah parti - menurun daripada minimum 71,000 undi yang diumumkan oleh suruhanjaya itu sebelum ini.

Pada Selasa, suruhanjaya itu mengumumkan keputusan rasmi 349 daripada 350 kerusi kawasan pilihan raya yang disahkan, kerana satu kerusi iaitu Chiang Mai mengadakan pilihan raya kecil ekoran kerusi yang dimenangi calon Pheu Thai dilucutkan.

BACA: Pilihan raya Thailand, suatu langkah maju ke depan?

Berdasarkan keputusan senarai parti yang dikeluarkan pada Rabu, Pheu Thai mempunyai 136 kerusi daripada 500 kerusi dewan perwakilan manakala parti pro tentera Palang Pracharat yang disokong bekas perdana menteri Prayuth Chan-o-cha tempat kedua dengan 115 kerusi, Future Forward Party (80), Democrat (52) and Bhumjaithai (51).

Bagi membentuk kerajaan kem parti politik memerlukan minimum of 251 daripada 500 kerusi di Dewan Rendah.

Bagaimanapun, "Democratic Front" pimpinan Pheu Thai dan enam parti lain memenangi 245 kerusi gabungan namun masih kurang daripada jumlah yang diperlukan bagi menduduki Dewan Rendah manakala Palang Pracharat masih belum mengumumkan gabungannya.

Bagaimanapun, Palang Pracaharat mempunyai kelebihan untuk memilih perdana menteri kerana 500 anggota parlimen yang dipilih dan 250 anggota senat yang dilantik junta tentera akan memilih perdana menteri yang baharu.

-- BERNAMA