Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera atau terkesan secara langsung dalam kejadian gempa bumi yang melanda Pariaman, Padang, Sumatera Barat, Indonesia pada pukul 9.03 malam (waktu tempatan) Ahad.

Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan telah berhubung dengan para pelajar Malaysia yang berada di sekitar Padang, Sumatera Barat bagi memastikan keselamatan mereka.

"Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau terkesan secara langsung akibat kejadian gempa ini.

"Rakyat Malaysia juga diminta supaya sentiasa tenang dan terus mengikuti berita tempatan untuk mengetahui perkembangan terkini," kata kementerian berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang berada di sekitar Sumatera Barat yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Medan menerusi e-mel [email protected] atau nombor telefon +62614531342.