Amerika Syarikat (AS) tidak akan mengubah sebarang syarat dalam merealisasikan rundingan dengan seterunya Korea Utara.

Pendirian pentadbiran Presiden Donald Trump itu dibuat ketika ketegangan memuncak susulan provokasi berterusan Korea Utara yang meneruskan program nuklear dan ujian peluru berpandunya.

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Nikki Haley menegaskan selagi Pyongyang tidak menghentikan ujian senjatanya dalam tempoh yang ditetapkan jangan harap rundingan akan diteruskan.

“Kita tidak mahu mengulangi apa yang berlaku 25 tahun lalu apabila mereka (Pyongyang)mahu berunding namun dengan syarat diletakkan wang yang akhirnya berkesudahan penuh penipuan,” tegas Haley.

Trump pada Sabtu lalu membuat kenyataan mengejutkan apabila menyatakan keterbukaannya untuk berunding dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Ia bercanggah dengan pendiriannya tahun lalu yang menyindir Setiausaha Negara AS Rex Tillerson berhubung rundingan berkenaan.

Kata Trump ia tindakan membuang masa jika mahu terus cuba berunding dengan Little Rocket Man gelaran yang diberikan Trump kepada Jong Un.

Kenyataan Trump itu menyusul selepas Korea Utara dan seterunya Korea Selatan dijadual mengadakan rundingan rasmi kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun.

Rundingan yang bakal berlangsung di sebuah bandar yang meisahkan kedua-dua negara itu bertujuan mencari jalan kerjasama bagi menjayakan Olimpik Musim Sejuk bulan depan di Korea Selatan.

Mempertahankan ketuanya, Haley menyifatkan kenyataan itu bukan bererti Trump beralah sebaliknya membuktikan komitmen beliau mencari damai di Semenanjung Korea tanpa mengenepikan syarat yang ditetapkan sebelum ini.