Tutup

Berita  | Dunia

Tidak endah arahan berhenti, 8 maut MPV dilanggar kereta api

Tidak endah arahan berhenti, 8 maut MPV dilanggar kereta api
Kejadian tragis itu didakwa berlaku selepas pemandu MPV tersebut nekad melintas landasan kereta api walaupun sudah diarah supaya menghentikan kenderaannya.
INDRAMAYU: Lapan penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut dilanggar kereta api dalam kejadian ngeri di Desa Jayamulya, Jawa Barat, di sini, pada Sabtu.

Kejadian tragis itu didakwa berlaku selepas pemandu MPV tersebut nekad melintas landasan kereta api walaupun sudah diarah supaya menghentikan kenderaannya.

Menurut saksi kejadian, ketika itu landasan akan ditutup berikutan kereta api dijangka melalui kawasan tersebut.

Namun, pemandu yang dikenali sebagai Tasdan tidak mengendahkan arahan penjaga palang.
“Pemandu kenderaan berkeras (melintas landasan) sehingga mengakibatkan enjin kenderaannya secara tiba-tiba mati (di atas landasan),” kata Ketua Polis Indramayu AKBP M Yoris Maulana Marzuki seperti dilapor portal detik.com.

Menceritakan insiden menyayat hati itu lagi, Yoris berkata, ketika MPV terkandas di tengah landasan, seorang pemuda dikenali sebagai Supriyadi cuba menolak kenderaan tersebut bagi mengelakkan ia dilanggar.
Namun, cubaan itu tidak berjaya memandangkan jarak antara kereta api dan MPV sudah terlalu hampir.

“Supriyadi berusaha menolak kenderaan tersebut tetapi kereta api semakin dekat dan mustahil untuk terus membantu.

“Seorang saksi, William Saputra kemudian menarik Supriyadi sebelum kereta api melanggar MPV tersebut,” ujar Yoris.

Akibatnya, MPV tersebut diseret sejauh 100 meter.

Salah seorang mangsa yang terkorban merupakan isteri kepada pemandu MPV tersebut yang dikenali sebagai Dian, 35.

Difahamkan, mangsa sedang hamil enam bulan dan akibat kemalangan maut itu, janin yang dikandungnya terkeluar dari rahim.