PEMANDU di Singapura disaran untuk mematikan enjin ketika berhenti lama.

Ini berikutan negara itu bakal menaikkan denda Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) kepada S$100 (RM290) bermula 1 Jun.

Memetik laporan Channel News Asia, ia merupakan satu peningkatan dari S$70 (RM204) yang dikenakan ketika ini.

Undang-undang Singapura tidak membenarkan enjin dihidupkan jika kenderaan tidak bergerak, kecuali ketika kesesakan trafik.

Namun, antara kenderaan yang terkecuali daripada undang-undang ini adalah teksi dan bas yang sedang menunggu dalam petak mereka dan kereta polis dan ambulans dalam situasi kecemasan.

Juga antara yang terkecuali daripada peraturan itu adalah kenderaan yang memerlukan enjin terus hidup bagi penggunaan mesin, seperti trak penyejuk dan pembancuh simen.

Channel News Asia turut melaporkan bahawa orang ramai diminta membuat laporan ke NEA jika terdapat pemandu yang menyalahi undang-undangi ni.

Seramai 5,100 pemandu didapati melakukan kesalahan itu tahun lepas dan ini merupakan peningkatan dari 3,200 pada 2013 dan 3,800 pada 2014.