'KERAJAAN fantasi' Disney tidak selamanya membawa keriangan lebih-lebih lagi sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.

Apa yang lebih menyedihkan, syarikat Walt Disney Co dilaporkan bakal memberhentikan kira-kira 28,000 pekerja yang kebanyakannya di taman tema di Amerika Syarikat.

Disney dalam satu kenyataan berkata, pemberhentian tersebut adalah susulan ketidaktentuan tempoh pandemik itu akan berlarutan sehingga memaksa jumlah pengunjung dihadkan di semua taman tema mereka.

Taman teman tersebut yang dibuka semula baru-baru ini mengehadkan kira-kira 30 peratus daripada kapasiti pengunjung yang biasa diterima.

Pemberhentian itu akan melibatkan pekerja domestik dan 67 peratus daripada mereka adalah pekerja sambilan.

BACA: Disneyland California dijangka buka semula pada Julai

Setakat ini, taman tema di Shanghai, Hong Kong, Tokyo dan Paris tidak terkesan dengan pengumuman ini.

Minggu lalu, taman tema Disney di Hong Kong dibuka semula buat kali kedua selepas mencatatkan peningkatan kes baharu mendadak di negara itu.


Untuk rekod, semua taman tema Disney sudah dibuka semula kecuali di California.

Disney mengalami kerugian sehingga AS$4.7 bilion (RM19.54 bilion) dalam tempoh tiga bulan sehingga 27 Jun lalu.