Tiga maut selepas sepasang bom berani mati yang dipasang pada dua buah kenderaan meletup di ibukota Somalia pada Jumaat.

Bom pertama meletup di sebuah pos pemeriksaan tentera di jalan lapangan terbang di Mogadishu, mencederakan seorang anggota tentera.

Pengebom disyaki sedang menuju ke lapangan terbang antarabangsa Mogadishu sebelum kenderaan yang dinaikinya dihentikan oleh anggota tentera.

Kawasan tersebut merupakan kawasan sasaran bagi puak pelampau al-Shabab.

Manakala bom kereta yang kedua diletupkan tidak lama selepas itu berhampiran persimpangan Benadir.

Ia berlaku selepas kereta yang melalui kawasan yang sibuk itu cuba melepasi pos pemeriksaan sebelum pihak tentera melepaskan beberapa das tembakan bagi menghentikannya.

Letupan menyebabkan tiga maut termasuk seorang anggota tentera. Masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam kedua-dua serangan tersebut.

Puak pelampau al-Shabab yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaida sebelum ini sering menyasarkan kawasan berprofil tinggi di ibu kota dan menakluk sebahagian besar Somalia di kawasan selatan dan tengah.