Dua orang awam dan seorang anggota keselamatan maut dalam tiga insiden tembakan berasingan di daerah Mayo, Pattani, di selatan Thailand, malam tadi.

Penolong Ketua Polis Daerah Mayo, Kapt Somchai Dualtuk berkata, kejadian pertama berlaku pada 6.35 petang waktu tempatan di Pasar Malam Kampung Tabih menyebabkan kematian Mat-ae Wae Dollah.

"Mangsa mati di tempat kejadian akibat ditembak beberapa individu tidak dikenali," katanya dan menambah, pada 2 Mac lepas tiga anggota tentera maut ditembak di lokasi yang sama.

Katanya, dalam kejadian kedua kira-kira 10 minit selepas itu, seorang anggota keselamatan dikenali sebagai Matrobin Maket, 20-an, mati ditembak di daerah yang sama.

Dalam kejadian ketiga di Kampung Sakam, daerah Mayo pada 7.15 malam waktu tempatan, seorang pemuda tempatan dikenali sebagai Samsuddin Cekso, 21, ditembak dan meninggal dunia di tempat kejadian, kata Somchai.

-- BERNAMA