Taufan Haiyan yang membawa angin selaju 314 kilometer sejam membadai Filipina pada awal Jumaat.

Laporan awal menunjukkan sekurang-kurangnya tiga orang maut akibat taufan yang dikata terkuat di dunia.

Menurut laporan pusat amaran Taufan tentera laut Amerika Syarikat, Taufan itu mampu mencecah kelajuan 378 kilometer sejam.

Bagaimanapun biro cuaca tempatan melaporkan bacaan lebih rendah, iaitu 235 kilometer sejam di daerah Guiuan wilayah timur Samar.

Taufan tersebut dijangka melanda kawasan tengah Filipina pada sehingga Sabtu sebelum bergerak ke Laut Cina Selatan menuju ke Vietnam.

Majlis pengurusan dan pengurangan risiko bencana kebangsaan melaporkan lebih dari 125 ribu penduduk sudah dipindahkan dari kawasan laluan taufan.

Presidennya, Benigno Aquino turut memberi amaran kepada penduduk supaya meninggalkan kawasan berisiko terutamanya di kawasan perairan.