Tiga suspek utama Yahudi yang ditangkap dalam pembunuhan kejam remaja Palestin berusia 16 tahun awal bulan ini, membuat pengakuan telah melarikan mangsa dan membakarnya hidup-hidup.

Dalam penerbitan mahkamah yang dikeluarkan pada Isnin, suspek, di mana dua daripada mereka berusia di bawah umur, memberitahu penyiasat bahawa pembunuhan Mohammed Abu Khudair ialah sebagai tindakan membalas dendam atas kematian tiga pelajar agama Yahudi di Tebing Barat, lapor agensi berita Reuters.

Ketiga-tiga mereka direman sehingga Jumaat oleh mahkamah Israel sementara menunggu dakwaan rasmi, dan juga telah dihantar untuk pemerhatian psikiatri.

Menurut portal berita Arutz Sheva 7, laporan perubatan mendedahkan bahawa suspek utama dalam kejadian itu mempunyai sejarah masalah jiwa.

Polis berkata, beliau juga telah ditangkap dua tahun lalu kerana disyaki cuba mencekik bayi perempuannya dan telah menerima rawatan psikiatri sejak itu.

"Saya menjangka akan mendapatkan bahan siasatan tidak lama lagi, di mana saya akan mencari bukti sokongan bahawa anak guam saya berhadapan masalah jiwa yang kompleks," kata seorang peguam bagi Honenu, sebuah organisasi bantuan guaman yang memaklumkan agensi berita Reuters.

Dalam kejadian pada 2 Julai itu, ketiga-tiga suspek dikatakan sedang meronda kawasan kejiranan Arab di Baitulmuqaddis dalam usaha untuk mencari mangsa untuk diculik.

Mereka melihat Mohammed Abu Khudair, sebelum menolaknya ke dalam kereta dan seterusnya dibawa ke sebuah hutan yang terletak di luar bandar.

Menurut agensi keselamatan Israel Shin Bet, suspek berusia 29 tahun kemudian memukul remaja Palestin itu di bahagian kepala menggunakan besi pembuka tayar sementara dua lagi suspek yang berusia 17 tahun menyimbah minyak ke atas mangsa dan seterusnya menyalakan api.

Insiden itu mencetuskan ketegangan di antara Israel dan Hamas sejak Selasa lalu di mana lebih 172 orang awam Palestin maut dalam beberapa siri serangan.