Tiga migran maut sementara tujuh yang lain cedera selepas van yang membawa mereka terbabas dan terbalik di utara Greece pada Rabu, kata polis.

Pemandu van, yang didakwa sebagai penyeludup, melarikan diri dari tempat kejadian.

“Dua kanak-kanak antara yang cedera dalam kemalangan yang berlaku awal pagi di lebuh raya antara bandar Alexandroupoli dan Komotini itu.

"Ia kejadian kedua di kawasan itu bulan ini,“ tambah jurucakap polis.

Identiti mangsa bagaimanapun belum dapat disahkan namun kemungkinan besar para pendatang itu dari Syria.

Ratusan ribu pelarian melarikan diri dari keganasan di Timur Tengah dan menggunakan Greece sebagai pintu masuk ke negara-negara Eropah yang lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ribuan yang lain telah tiba dalam beberapa bulan kebelakangan ini melalui persimpangan Sungai Evros di utara Greece, kebanyakannya dari Syria dan Iraq.