Tiga penuntut kolej dengan dua daripadanya merupakan penyumbang kepada blog video percutian terkenal maut terjatuh di lokasi air terjun di Kanada.

Ryker Gamble dan Alexey Lyakh yang menghasilkan kandungan untuk saluran High On Life, sedang merakamkan video pengembaraan mereka di sebuah lokasi air terjun.

Mereka disertai teman wanita Lyakh, Megan Scraper, yang sering membuat kemunculan khas dalam siaran blog video saluran itu.

"Mereka bertiga adalah yang paling hebat, paling baik dan paling hangat yang pernah ditemui," ujar ahli kumpulan High On Life yang lain.

Kumpulan penyedia kandungan High On Life mempunyai empat orang ahli kesemuanya.




Menurut polis, mereka sedang berenang di sebuah kolam takungan di puncak air terjun Shannon Falls di British Columbia pada Selasa selepas mereka menyelinap ke kawasan itu.

Mereka dipercayai berdiri di tebing kolam tersebut sebelum tergelincir lalu terjatuh dari ketinggian 30 meter yang bersamaan dengan bangunan 10 tingkat.

Mayat mereka ditemui di kolam sebelah bawah di air terjun itu.

High On Life yang mempunyai 1.1 juta pengikut di Instagram dan lebih daripada 500,000 pelanggan YouTube itu, mengabadikan ketiga-tiga mangsa di laman peringatan menerusi sebuah video penghormatan.