Dua sukarelawan keselamatan dan seorang penolong ketua kampung maut dalam insiden keganasan terbaru di wilayah bergolak Narathiwat, selatan Thailand pada Selasa.

Kedua-dua sukarelawan itu terkorban selepas diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata ketika bertugas mengawal keselamatan sekumpulan guru di Kampung Tokdeng, wilayah itu pada 4.20 petang (waktu tempatan).

“Serangan hendap itu bermula dengan letupan bom sebelum disusuli oleh tembakan. Motosikal mangsa turut dibakar dan senapang AK102 mereka dilarikan. Baju kalis peluru mangsa turut hilang,” kata Ketua Polis Sungai Padi Kol Pakdee Prichanshun.

Pasukan penyiasat polis menurutnya, menemukan 10 kelongsong peluru M-16 di lagi lagi lokasi kejadian.

Kira-kira dua jam sebelum itu, seorang lagi penolong ketua kampung dikenali sebagai Zulkifli Longpak ditembak mati penyerang tidak dikenali di Kampung Baluka, daerah Yingo di wilayah selatan Thailand itu.

Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Manas Sikkamas yang mengesahkan kejadian itu berkata polis masih menyiasat motif kejadian pembunuhan itu.