Tiga wartawan portal berita di Medan berhadapan saat getir ketika bertugas apabila terkena beberapa das tembakan oleh orang yang tidak dikenali semasa melakukan tugasan liputan siasatan jenayah di Kampung Kubur di Kota Medan, di Sumatera Utara pada Ahad.

Pada kejadian 5.50 pagi itu, ketiga-tiga wartawan iaitu Nicolas Saragih, Fahrizal Ardillah dan Arifin Tanjung, mengalami kecederaan akibat terkena tembakan pada bahagian tepi leher, kening serta pipi dan mereka dikejarkan ke Hospital Bhayangkara di Kota Medan.

Akhbar-akhbar tempatan memetik Ketua Polis Sektor Medan Baru Ronny Nicolas Sidabutar berkata ketiga-tiga wartawan berkenaan sebelum itu menerima maklumat awam kononnya berlaku kes ragut dan curi motosikal di Kampung Kubur.

Katanya sebaik sampai di Kampung Kubur, mereka terdengar orang kampung menjerit dan menuduh mereka sebagai pencuri dan tiba-tiba mereka terdengar bunyi tembakan serta terkena peluru pada bahagian tepi muka.

Beliau berkata polis kemudiannya menerima maklumat mengenai kejadian itu dan bergegas ke tempat kejadian.

Hasil siasatan mendapati maklumat kononnya berlaku kes ragut adalah tidak benar kerana lelaki yang mengaku menjadi mangsa ragut dan kehilangan motosikal itu kemudiannya mengakui bahawa motosikalnya cuma diambil oleh rakannya sendiri.

Polis masih menyiasat kes itu dan telah menemui sebutir peluru 'airsoft gun' di tempat kejadian.

Sementara itu, Nicolas, daripada MediaMedan.com berkata beliau terkena tembakan pada bahagian kening dan pipi sebelah kanan.

Katanya dua lagi rakannya iaitu Arifin daripada Opini.com dan Fahrizal daripada MedanBerita.com terkena tembakan pada bahagian dagu dan tepi leher.

"Kami bertiga memang meliput berita-berita jenayah dan kami berpakat untuk keluar bersama-sama pada pagi semalam (Ahad)," katanya.