BAGAIMANA rasanya melihat dua warga emas berprofil tinggi dengan perwatakan tersendiri, tapi tidak sehaluan dalam membuat keputusan bersama?

Itulah yang terjadi antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dengan bekas Setiausaha Negara, Rex Tillerson.

Trump pada Jumaat menyifatkan Tillerson sebagai orang yang 'bodoh seperti batu dan pemalas', susulan bekas diplomat itu menasihatkan Trump supaya tidak bertindak sesuatu yang melanggar undang-undang.

“Mike Pompeo (Setiausaha Negara AS sekarang) melakukan tugas dengan hebat. Saya sangat berbangga padanya.

"Sebelumnya ialah Rex Tillerson. Dia tidak mempunyai kapasiti mental yang diperlukan. Dia bodoh seperti batu dan saya tidak dapat menyingkirkannya lebih awal. Dia juga pemalas. Sekarang ini satu permulaan baharu, seluruh negara bersemangat!" Kata Trump menerusi Twitternya.

Trump memecat Tillerson pada Mac selepas antara kedua-duanya sering terjadi perselisihan pandangan, terutamanya yang melibatkan polisi Korea Utara, Rusia dan Iran.

Sementara itu, Tillerson tidak membiarkan dirinya menjadi mangsa kata-kata Trump tanpa kenyataan balas.

Dalam satu sesi wawancara dengan berita CBS di Houston, Texas, Tillerson mendedahkan bahawa antara dirinya dengan Trump, terlalu banyak perbezaan dari segi cara kerja dan prinsip.

"Kami tidak mempunyai sistem penilaian yang sama," kata Tillerson yang turut menambah, Trump banyak kali mahu melakukan sesuatu perkara secara tergopoh-gapah dan bertentangan dengan nilai prinsip yang didukung AS.

Sosok berusia 66 tahun yang mengimbas cara kerjanya sewaktu menjadi Ketua Eksekutif ExxonMobil, menyatakan bahawa dia sudah terlatih untuk berdisiplin dan sangat patuh pada prosedur dan proses dalam tugasnya.

Namun, apabila beliau berkhidmat di bawah pimpinan Trump, semua prinsip yang diyakininya tidak dapat diguna pakai.

Tillerson mengakui Presiden yang berusia 72 tahun itu merupakan seorang yang tidak berdisiplin.

"Dia tak suka membaca, malah tak membaca laporan yang diberikan padanya. Dia tidak berusaha memahami setiap butiran yang dipaparkan," kata Tillerson.