Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendesak pengeluaran steroid murah, dexamethasone dipertingkatkan.

Ini selepas dexamethasone dikaitkan dengan kejayaan mengurangkan kematian dalam kalangan pesakit COVID-19 yang kritikal.

Jelas Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, permintaan terhadap steroid berkenaan meningkat mendadak sejak Britain mengeluarkan kajian mendakwa ia berjaya mengurangkan kadar kematian.

Sekitar 2,000 pesakit diberikan dexamethasone oleh saintis dari University Oxford.

Ia didapati mengurangkan kalangan pesakit kritikal kepada 35 peratus.

Dexamethasone telah berada dalam pasaran sejak 60 tahun lalu dan digunakan untuk merawat keradangan.

WHO bagaimanapun memberi peringatan, dexamethasone hanya digunakan ke atas pesakit kritikal.

Ia bukan ubat mencegah COVID-19 dan bukan untuk merawat pesakit dengan simptom ringan.

Dr Tedros dalam pada itu mengulangi peringatan supaya negara menggandakan pendekatan kesihatan awam untuk menghentikan penularan COVID-19.

“Kami mendesak negara-negara berwaspada dan lebih kreatif mencari penyelesaian, penduduk diminta berjaga-jaga dengan hidup mereka.

“Kami minta semua negara menggandakan asas kesihatan awam yang kini diamalkan.

"Mencari dan menguji kes, mengasingkan dan merawat mereka yang disahkan ada virus, mengesan dan mengkuarantin kontak dan melindungi petugas kesihatan,” katanya.

Beliau juga menekankan pendekatan kesihatan umum juga hanya berkesan dengan bantuan kawalan kendiri individu.