"Kami gembira kerana Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr S. Subramaniam menerima permohonan maaf kami dengan hati terbuka," menurut catatan penerbit theindependent.sg, atau TISG pada Isnin.

TISG menyiarkan dalam laman webnya mengenai kenyataan Dr Subramaniam pada 3 Sept : "Hari ini, portal memohon maaf terhadap apa yang telah ditulis dan oleh kerana portal itu telah memohon maaf, maka kita menerimanya."

"Kita berharap untuk mengakhiri episod ini dan berharap semoga rakan-rakan kita di Malaysia dan pelawat dari Singapura mengharungi perjalanan yang selamat di Tambak Johor dan di Link Kedua," menurut posting itu yang membawa tajuk "Respons kami kepada Dr Subra menerima permohonan maaf kami."

Terdahulu pada 3 Sept, penerbit menyiarkan notis dalam laman webnya dengan menyatakan ia terus terang memohon maaf kepada pihak-pihak berkenaan atas kepayahan dan kesusahan disebabkan oleh insiden ini.

Notis itu ialah bagi menggantikan artikel asal bertajuk "rakyat Singapura meninggal selepas hospital malaysia menuntut bayaran tunai sebelum memberi rawatan" yang disiarkan pada 31 Ogos.

Ia adalah sebagai responnya kepada reaksi Kementerian Kesihatan malaysia terhadap artikel tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia berkata ia akan mengemukakan surat rasmi kepada Kerajaan Singapura bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap portal berita dalam talian republik itu yang menerbitkan laporan yang tidak berasas berkaitan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kakitangan perubatannya.

Dalam laman webnya, TISG berkata ia menyiarkan perspektif bebas mengenai berita dan hal ehwal semasa di Singapura.

-- BERNAMA