Pelajar Malaysia di luar negara mahu kerajaan menyemai budaya pemikiran kritis kepada masyarakat menjelang tahun 2050.

Koordinator WeMalaysia Amerika Syarikat (AS) Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin berkata, selain itu, pelajar juga mahu negara lebih prihatin kepada pelarian-pelarian di Malaysia dan meningkatkan perpaduan antara rakyat.

"Pelajar juga mahu kerajaan meningkatkan perhatian kepada pendidikan awal dan hak kanak-kanak, membentuk masyarakat yang mengangumi budaya Malaysia, menekankan kepada nilai dan tingkah laku yang baik dan kesamarataan jantina," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Pelajar ejen promosi budaya Malaysia di luar negara - Fiona Kee

BACA:
Perpaduan kaum di Malaysia jadi aspirasi masyarakat luar negara - WeMalaysia Australia

Nasnoor berkata demikian ketika mengulas penganjuran program siri jelajah Transformasi Nasional 2050 (TN50) sempena Sempena Malaysia Midwest Game 2017 (MMG17) di Michigan State University, Michigan, AS.

Dialog TN50 itu ditayangkan secara langsung melalui Facebook Himpunan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (NAMSA) dan mendapat lebih dari 1,000 penonton.

Dialog TN50 di MMG17 telah menampilkan sidang video Khairy bersama dengan Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdir dan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid.

Jelas Nasnoor, WeMalaysia AS secara konsisten menyokong penuh TN50 dan berpandangan ia merupakan sebuah kesinambungan perancangan pembangunan negara untuk generasi muda Malaysia.

"Negara memerlukan TN50 bagi melakar wajah baru Malaysia untuk 30 tahun akan datang yang memerlukan golongan muda untuk mewarisi masa depan negara dan bertanggungjawab memastikan acuan dan bentuk negara Malaysia kelak.

"Justeru, sumbangan golongan muda adalah sangat penting di dalam memastikan Malaysia terus maju, berdaya saing dan dalam masa yang sama menjamin keseimbangan sosio budaya rakyat Malaysia yang majmuk.

"WeMalaysia USA dan pelajar-pelajar di AS komited untuk memastikan TN50 mencapai sasarannya untuk masa depan Malaysia yang lebih baik," katanya.

BACA: Rakyat disaran manfaat program jelajah TN50 - KSN

BACA:
TN50: Input anak muda yang perlu dihadam oleh PM

Dalam pada itu kata Nasnoor, MMG17 telah disertai lebih 300 pelajar Malaysia yang kebanyakannya dari universiti-universiti di wilayah tengah AS.

"Program ini turut disertai oleh pegawai-pegawai dari Kedutaan Malaysia di AS dan Konsulat Jeneral Malaysia New York.

"Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Zulhasnan Rafique telah merasmikan program ini dan ditutup oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh," ujarnya.

Antara sukan yang dipertandingkan adalah bola sepak, ragbi, bola jaring, pingpong dan catur.

Seperti beberapa program pelajar sebelum ini, Nasnoor menjelaskan, WeMalaysia AS turut menyumbang kepada penganjuran MMG17 bagi menyokong program-program berfaedah untuk pembangunan minda, fizikal dan intelektual pelajar-pelajar.

"Kita mengharapkan pelajar-pelajar mendapat manfaat dari penganjuran program seumpama ini yang merupakan satu platform baik untuk mengimbangi antara aktiviti akademik dan kokurikulum.

"Kita juga mengucapkan tahniah kepada penganjur MMG17 di atas kejayaan menganjurkan program ini dengan jayanya.

"Kita turut bersedia untuk terus bekerjasama dalam penganjuran program-program yang bermanfaat terutamanya yang dapat meningkatkan semangat patriotisme di kalangan pelajar-pelajar," jelasnya.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara.

Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).