Letusan Gunung Fuji di Jepun boleh melumpuhkan Tokyo, dengan abu dari letusan itu boleh memenuhi jalan dan menjejaskan bekalan air, menurut satu kajian yang dijalankan Pusat Perancangan Bencana Nasional.

Portal berita NDTV melaporkan, kajian itu akan menjadi asas untuk merangka pelan kontigensi untuk situasi sedemikian, antaranya termasuklah memindahkan penduduk dan proses pembersihan.

Gunung itu kali terakhir meletus pada tahun 1707. Walaupun buat masa ini tidak menunjukkan sebarang tanda akan meletus, jika itu terjadi, bandar raya Tokyo bakal ditenggelami abu setebal 10 sentimeter (4 inci).

Dengan populasi yang padat, penduduk di bandar raya Tokyo perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat bencana seperti letusan gunung berapi. - Reuters

Kajian itu turut mendapati hanya dengan 0.5 sentimeter abu, sudah boleh menyebabkan masalah mekanikal pada kenderaan, manakala lebih daripada satu sentimeter boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik besar-besaran serta kegagalan sistem penapisan air.

"Gunung Fuji dikategorikan sebagai gunung berapi yang masih muda. Jadi, kebarangkalian ia meletus itu ada biarpun tidak aktif buat masa ini," kata Toshiyasu Nagao, ketua Pusat Penyelidikan Ramalan Gempa Universiti Tokai.

Jepun, dengan lebih daripada 110 gunung berapi aktif, terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik iaitu lokasi sebahagian besar kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi di dunia dicatatkan.