Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, meluahkan rasa sedihnya apabila mengetahui warga Malaysia Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17 tahun yang dilaporkan hilang susulan kejadian serangan ganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand disahkan maut.

Menurutnya, beliau menerima berita sedih itu selepas selesai membuat sidang media dari melawat semua mangsa di New Zealand.

Azrul menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terutamanya kepada kedua ibu bapa Muhammad Haziq - Mohd Tarmizi dan Marina di atas kehilangan anak kesayangan mereka.

"Perkara itu telah disahkan oleh Wisma Putra, memang saya rasa amat sedih sekali dan saya ingin menggucapkan takziah kepada keluarga Mohd Haziq terutamanya kepada ibu bapanya, Tarmizi dan Marina," katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Beliau turut mendedahkan dua lagi rakyat Malaysia yang cedera berikutan insiden berkenaan telah menunjukkan perkembangan yang positif.

"Abang Rosdi iaitu abang kepada Rahimi telah memaklumkan kepada saya dimana pagi tadi dia ( Rahimi ) sudah boleh buka mata dan menggerakkan tangan dan petang ini mereka akan membuka tiub bantuan pernafasan, begitu juga dengan saudara Nazril yang juga menunjukkan perkembangan yang positif,".

Jumaat lalu, Masjid Al Noor dan Masjid Linwood menjadi tumpuan dunia apabila seorang warga Australia dipercayai melepaskan tembakan dan mengorbankan 50 individu yang sedang bersiap-sedia untuk menunaikan solat Jumaat.

Selain itu, 20 lagi dilaporkan mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.